SAYANG RASULULLAH S.A.W KEPADA HASSAN DAN HUSSIN

Sewaktu Sayyidina Hassan dan Hussin masih kecil, apabila Rasulullah SAW sembahyang, baginda meletakkan mereka di sampingnya. Kedua-dua cucunya ini memperhatikan gerak-geri baginda dalam sembahyangnya. Bahkan, ketika baginda sujud, kedua-dua anak itu melompat ke belakang baginda. Maka ada seseorang yang melarang kanak-kanak itu, tapi baginda mengisyaratkan supaya dibiarkan saja kedua-dua cucunya bermain di belakangnya.

Jika Rasulullah SAW hendak mengerjakan sembahyang, maka baginda meletakkan Hassan dan Hussin. Kemudian baginda bersabda:

“Sesiapa yang kasih kepadaku hendaklah ia kasih kepada yang dua ini (Hassan dan Hussin).

Pada suatu hari, Rasulullah SAW keluar bertemu dengan kaum muslimin, sedang bersamanya ada Hasan dan Husain. Seorang di bahu kanan dan yang seorang lagi di bahu kiri. Baginda mencium Hasan, kemudian mencium Husain pula.

Ketika Rasulullah SAW membawa Hasan dan Husain, tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepada baginda, “Ya Rasulullah, apakah engkau sangat cinta kepada mereka berdua?” Baginda terus menjawab, “Sudah tentu. Sesiapa yang mengasihi kedua cucuku ini maka bererti telah mengasihi aku, dan sesiapa yang memarahinya bererti ia memarahi aku.”

Umar bin Khattab pernah menyaksikan Rasulullah SAW sedang mengendong Hassan dan Hussin, seorang di bahu kanan dan yang seorang lagi di bahu kiri baginda. Maka Umar berkata kepada Hasan dan Husain, “Kuda yang paling baik ialah di bawah kamu (Rasulullah) .” Rasulullah melirik kepada cucunya lalu berkata, “Dan penunggang kuda yang paling mahir adalah kamu berdua.”

Di dalam rumahnya sendiri, Rasulullah SAW membawa Hassan dan Hussin di atas belakangnya, kemudian baginda berjalan dengan tangan dan kaki sambil berkata: “Unta yang paling baik ialah unta kamu, dan sebaik-baik pasangan ialah kamu berdua.”

Pada suatu hari, Rasulullah SAW diundang makan ke rumah seorang sahabat. Ketika baginda dan para sahabat berjalan menuju rumah orang yang mengundang makan itu, baginda melihat Hussin sedang bermain-main dengan kanak-kanak di tengah jalan. Baginda ingin bergurau dengan Hussin, maka baginda berjalan lebih laju sehingga baginda agak ke depan berbanding rombongannya. Apabila tiba dekat Hussin, baginda membuka kedua-dua tangannya sambil mengisyaratkan supaya Hussin melompat kepadanya. Lalu Hussin melompat ke arah baginda dan beliau tertawa sambil mendakap serta mencium Hussin sambil bersabda:

“Hussin sebagian dari diriku, dan aku sebagian darinya. Allah mengasihi orang yang mengasihi Hussin.”

Pernah berlaku, ketika para sahabat duduk di sekeliling Rasulullah SAW ketika matahari hampir tenggelam, maka datang orang memberitahu baginda bahwa Hassan dan Hussin telah hilang entah ke mana.

Mendengar yang demikian membuat Rasulullah takut lalu berkata kepada para Sahabat, “Bangkitlah kamu, pergi cari anakku!”

Kemudian baginda mengajak salah seorang di antara Sahabat ikut bersamanya. Rasulullah SAW menyeru semua Sahabat supaya sama-sama mencari Hasan dan Husain sebelum malam tiba, tapi tidak juga ditemui. Tiba di suatu tempat, melihat Hassan dan Hussin berpelukan dan amat ketakutan karena di hadapan mereka ada seekor ular besar yang dari mulutnya keluar api.

Dengan pantas, Rasulullah SAW mengambil perhatian ular itu supaya beralih kepadanya. Tidak lama kemudian ular itu pergi ke celah-celah batu. Baginda terus mengambil Hassan dan Hussin, memisahkan keduanya, lalu menyapu wajah keduanya. Sambil memeluk keduanya, Rasulullah SAW bersabda:

“Demi ayah dan ibuku, kamu berdua teramat mulia di sisi Allah.”

Sesudah itu barulah nafas Hassan dan Hussin kembali seperti biasa. Kemudian baginda pun mengangkat keduanya, seorang ke bahu kanan dan seorang lagi ke bahu kirinya.

Pernah berlaku, Rasulullah sudah berdiri di atas mimbar, lalu baginda berkhutbah kepada umat Islam. Maka datanglah Hussin ke dalam masjid sedangkan di lehernya ada perca kain yang ditarik dan dihulur-hulurkannya .

Hussin pun berjalan di celah-celah jemaah Jumaat yang sedang duduk mendengar khutbah dari Rasulullah. Perca kain itu dihulur dan ditarik-tariknya. Tiba-tiba kaki Hussin tersandung lalu jatuh dengan mukanya ke tanah.

Melihat itu, Rasulullah SAW meluru ke arah Hussin. Apabila orang lain melihat baginda datang, maka mereka cepat mengambil Husain dan memberikannya kepada baginda. Hussin diciumi Rasulullah sambil mengucapkan:

“Semoga Allah membunuh syaitan, dan sesungguhnya anak adalah fitnah.”

Ketika itulah baginda memandang kepada sidang jemaah sambil meminta maaf. Baginda berkata, “Demi Allah, aku tidak sedar telah turun dari mimbar hinggalah aku mendatanginya (Husain).”

Pernah Rasulullah SAW masuk ke rumah puterinya Fatimah bertujuan untuk berziarah dan memberi ketenangan jiwa kepadanya, lalu baginda bertanya tentang keadaan dirinya dan rumah tangganya. Baginda juga bertanya tentang suami dan anak-anaknya.

Rasulullah berkata kepada Fatimah, “Suruhlah suami dan anak-anakmu datang ke mari.” Lalu Fatimah memanggil mereka semua, maka mereka pun datang sambil memberi salam kepada Rasulullah dan menyambut kedatangan baginda dengan gembira. Dalam kesempatan itu Rasulullah bergurau senda dan beramah mesra dengan mereka.

Setelah suasana telah tenang maka baginda menyuruh mereka duduk di hadapannya lalu baginda berdoa untuk mereka:

“Ya Allah, mereka ini adalah keluarga Muhammad. Berikan rahmat dan keberkatan-Mu kepada mereka sebagaimana telah Engkau berikan kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia. Ya Allah, inilah keluargaku, hilangkanlah dari mereka kekotoran dan bersihkan mereka dengan kesucian. Ya Allah, redhailah mereka sebagaimana aku redha kepada mereka.”

“Tetaplah kamu dalam rumahmu dan janganlah kamu berhias seperti dandanan perempuan jahiliyah yang dahulu, dan dirikanlah sembahyang dan bayarkanlah zakat, dan ikutlah Allah dan Rasul-Nya. Allah hanya mengkehendaki, supaya Dia menghilangkan kekotoran (dosa) daripadamu, hai ahlul bait dan supaya Dia membersihkan kamu dengan sebersih-bersihnya.” QS Al Ahzab: 33



Kasih dan sayangnya Rasullulah kepada cucunya
“Kepada Hassan, aku wariskan sifat kepemurahanku tetapi kepada Hussin aku wariskan sifat keberanianku.”

“Hassan dan Hussin adalah dua kebangganku di dunia ini.”

“Bahwa Hassan dan Hussin termasuk nama-nama yang terdapat dalam Syurga dan kedua nama tersebut tidak terdapat pada zaman jahiliah.”

Sayyidina Hassan dan Hussin biasanya dipanggil sebagai putera-putera Rasulullah SAW walaupun mereka sebenarnya adalah cucu-cucu baginda. Rasulullah SAW sangat inginkan anak lelaki karena kesemua anak-anak lelaki baginda meninggal sewaktu mereka masih kecil. Maka apabila mendapat dua orang cucu lelaki ini, Rasulullah memanggil mereka, “Anak-anakku” manakala mereka memanggil Rasulullah, ayah. Terhadap Sayyidina Ali, ayah mereka, Sayyidina Hassan memanggilnya, “Abu Hussin” dan Sayyidina Hussin memanggilnya, “Abu Hassan”.

Sabda Rasulullah SAW:

“Semua anak Adam bernasabkan ayah mereka kecuali anak-anak Fatimah. Akulah ayah mereka dan akulah yang menurunkan mereka.”

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Budak yang mencipta sejarah

~~Doa~~